Basis Bay jangka perolehan naik 50%

Utusan Malaysia, Korporat - 6 Ogos 2003

KUALA LUMPUR - Kumpulan Basis Bay (Basis Bay), menjangkakan peningkatan perolehan sebanyak 50 peratus tahun ini melalui perkakasan dan bahagian perkhidmatan komputernya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Praba Thiagarajah berkata, dengan sasaran itu, pihaknya kini sedang menumpukan untuk menembusi pasaran penyelesaian aplikasi di dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana (SMI) di samping bersaing dengan gergasi-gergasi ICT tempatan.

"Kami yakin dapat mencapai sasaran tersebut dengan prestasi baik yang ditunjukkan oleh anak-anak syarikat Basis Bay yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di majlis pelancaran portal dagangnya e-basisbay.com di sini hari ini.

Pelancaran itu telah dilakukan oleh Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie.

Portal dagang itu adalah satu lagi cabang perniagaan Basis Bay di dalam mengendalikan perniagaan komputer berharga murah.

Menurut Thiagarajah, perniagaan itu terdiri daripada menjual komputer yang telah diperbaharui, menjual perkakasan baru.

Beliau berharap dengan pelancaran portal itu, pendapatan e-BasisBay akan meningkat dua kali ganda pada tahun ini berbanding apa yang diperoleh pada tahun lalu.

Katanya, melalui portal itu, orang ramai khususnya yang terlibat di dalam perkhidmatan kewangan, pembuatan, telekomunikasi dan industri peruncitan akan dapat membeli komputer-komputer itu dengan harga amat murah.

"Melalui portal ini, pembeli dapat menikmati penjimatan sebanyak 20 peratus daripada harga komputer yang terbaru," katanya.

Bagi meluaskan pasaran perkhidmatannya, Basis Bay bercadang untuk menambah sebuah cawangan pada setiap bulan.

Source: read more »